Tumpuan :
Nasional

Sumbat kucing dalam guni: DVS sita kereta, ambil keterangan pelaku

Rakaman video tular yang menunjukkan sekumpulan lelaki memasukkan beberapa kucing ke dalam guni. – FOTO: Tular

KAJANG: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor menyita sebuah kereta Nissan Sentra, beberapa guni dan sangkar dipercayai digunakan bagi mengangkut kucing sebelum dibuang di kawasan pangsapuri di Batu 9, Cheras di sini.

Individu yang terbabit dalam perbuatan itu seperti tular di media sosial turut dirakam percakapan.

DVS berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 37 saat yang tular di pelbagai platform media sosial sejak kelmarin memaparkan sekumpulan orang awam meletakkan beberapa ekor kucing di dalam guni dan memasukkannya ke dalam but kereta jenis sedan di daerah ini.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan Negeri Selangor bergegas ke lokasi aduan untuk menjalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal pasukan mendapati kejadian dilaporkan berlaku antara jam 9 pagi sehingga 3 petang kelmarin, membabitkan penduduk di sekitar lokasi aduan, yang dalam program gotong-royong anjuran bersama pihak pengurusan bangunan (JMB) perumahan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan itu,pasukan menyita kereta Nissan Sentra, beberapa unit guni dan sangkar yang dipercayai digunakan untuk mengangkut beberapa ekor kucing untuk siasatan lanjut.

Keterangan beberapa suspek terbabit kes diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593],” katanya dalam kenyataan.

Menurut DVS, kes itu disiasat mengikut Subseksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri Selangor setelah siasatan dilengkapkan.

Semalam, media melaporkan polis menerima dua laporan berhubung penganiayaan beberapa kucing yang didakwa disumbat dalam guni dan dibuang di sebuah kawasan pangsapuri di Batu 9, Cheras di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, laporan telah diterima kelmarin dan semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini