comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sungai Golok cetek susulan cuaca panas

 

RANTAU PANJANG: Paras air Sungai Golok, di sini, menjadi cetek sejak akhir Ramadan lalu susulan cuaca panas selain tiada taburan hujan.

Tinjauan di sepanjang Sungai Golok, hari ini, mendapati terdapat juga beberapa kawasan yang menampakkan dasar sungai kerana air kering akibat cuaca yang terlalu panas.

Penduduk tempatan, Roslan Ismail, 42, berkata situasi sungai cetek sebenarnya berlaku pada hampir setiap tahun, namun biasanya terjadi pada bulan Jun atau Julai.

Katanya, kali ini cuaca panas melanda sedikit awal menyebabkan Sungai Golok mula cetek pada awal April lagi dan mungkin keadaan itu akan berpanjangan jika masih panas tanpa hujan.

“Jarak tebing di sebelah Thailand dan Malaysia hanyalah hampir 150 meter, jadi apabila sungai cetek sebegini seolah-olah tiada sempadan antara dua negara.

“Bagaimanapun, bukan keseluruhan sungai ini menjadi cetek sebaliknya, di sesetengah kawasan sahaja yang mana permukaan dasar sungai agak tinggi.

“Situasi ini bukanlah sesuatu yang baru buat kami, kerana sudah biasa dan dapat mengagak keadaan ini akan berlaku jika kemarau berpanjangan,” katanya ketika ditemui sedang meninjau keadaan air di Sungai Golok, berdekatan Kampung Lubok Gong, di sini, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan keadaan cuaca panas berlaku di rantau negara terutamanya di Semenanjung Malaysia dan menunjukkan peningkatan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celcius iaitu pada Tahap Satu (Berjaga-jaga). ⁣

Keadaan cuaca panas berkenaan dijangka akan berlanjutan dalam tempoh yang agak panjang iaitu sehingga Ogos susulan musim peralihan monsun.

Bagi Ahmad Saiful Abdullah, 16, dia bersama rakan-rakan tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda kerana keadaan sungai cetek pada paras 0.2 sehingga 0.5 meter sahaja.

“Ibu bapa juga memberi kebenaran untuk kami bermain air kerana dilihat selamat, malah ada masanya mereka turut sama ke tebing sungai sambil beriadah dan berkelah.

“Selain itu, kami juga tidak melepaskan peluang mencari etak yang banyak terdapat di dasar sungai. Apabila sungai cetek, ia memudahkan kami untuk mencarinya menggunakan jaring atau sangkar.

“Kami turun ke sungai pada awal pagi dan sebelah petang ketika cuaca agak redup selain ramai orang luar daripada kawasan ini yang turut datang untuk bermain air dan mencari etak,” katanya.

Loading...
Terkini