comscore
Tumpuan :
Nasional

Sungai Tamparuli masih cetek walaupun hujan lebat sejak awal bulan

Keadaan paras air Sungai Tamparuli yang tidak berubah walaupun berlaku hujan lebat di daerah itu, semalam. – Foto NSTP

TAMPARULI: Walaupun berlaku hujan lebat di daerah Tuaran sejak awal bulan ini, namun paras air Sungai Tamparuli yang surut kesan cuaca panas lebih dua bulan masih tidak banyak berubah.

Tinjauan mendapati keadaan air sungai masih cetek dan tidak banyak berubah sejak dua bulan lalu.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, keadaan sungai cetek itu hanya akan berakhir apabila berlaku hujan lebat di Ulu Kiulu tempat permulaan Sungai Tamparuli dan Tuaran.

“Ketika ini, paras air Sungai Tamparuli yang menjadi sumber utama Loji Rawatan Air Telibong masih belum kembali kepada paras asal, walaupun kerap berlaku hujan sejak kebelakangan ini.

“Ini kerana, sungai itu hanya akan penuh apabila hujan lebat berlaku di hulu sungai di Ulu Kiulu,” katanya.

Tangau berharap taburan hujan yang banyak dalam waktu terdekat bagi menamatkan musim panas lebih dua bulan itu.

Katanya, Sungai Tamparuli menerima aliran air dari Ulu Kiulu sehingga muara Tuaran dengan saiz lembangan seluas 988 kilometer.

Beliau berkata, keadaan kemarau itu menyebabkan kapasiti air di empat loji rawatan air dan satu takungan di Telibong turut terjejas.

Empat loji itu ialah Loji Rawatan Kampung Bawang berkeupayaan membekalkan tiga juta liter air sehari; Loji Rawatan Telibong 1 membekalkan 75 juta liter sehari; Loji Rawatan Telibong Fasa 1 (80 juta liter sehari) dan Loji Rawatan Telibong 2 Fasa 2 (80 juta liter sehari).

Dalam perkembangan berkaitan, bekalan air di beberapa kampung di pedalaman dan kawasan di daerah itu turut terjejas kesan cuaca panas itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini