KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang pengawal keselamatan berhubung penyebaran surat palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof yang dikesan dihantar kepada individu di Sarawak.
Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di pondok pengawal Pejabat Daerah Samarahan, Samarahan, Sarawak kira-kira jam 12.45 tengah hari, semalam.
Tangkapan dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Samarahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata tangkapan itu susulan satu laporan polis yang diterima daripada seorang lelaki mendakwa menerima tawaran kerja daripada suspek sebagai pegawai setiausaha pejabat di pejabat TPM.
“Pengadu mendakwa mengenali suspek sejak Julai lalu dan suspek berjaya meyakinkan pengadu bahawa dia adalah pengiring rapat kepada TPM (Fadillah).
“Pengadu yang terpedaya menyerahkan dokumen peribadi sebelum suspek menyerahkan kepadanya surat kononnya surat perlantikan sebagai pegawai setiausaha pejabat dan permohonan kuarters kerajaan,” katanya ketika dihubungi BH Online hari ini.
Razarudin berkata pengadu membuat semakan mengenai kesahihan surat itu dengan rakan kakaknya yang kemudian mengesahkan bahawa surat itu adalah surat palsu.
Berikutan itu, katanya pengadu membuat laporan polis kerana rasa tertipu dan bimbang butiran peribadinya yang diserahkan kepada suspek disalah guna untuk tujuan salah.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata semakan mendapati suspek bekerja di Pejabat Daerah Samarahan sejak tahun 2018.
“Suspek mengaku menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dengan kerajaan persekutuan kepada beberapa orang rakan-rakan termasuk pengadu pada hujung Oktober lalu.
“Suspek mendakwa dia membuat tawaran sedemikian kerana ingin perhatian daripada rakan-rakan dengan mengatakan dia mempunyai kenalan dalam kalangan orang atasan dan kononnya boleh membantu mereka (mendapat kerja). Dia suka dilayan sebagai orang penting,” katanya.
Selain itu, katanya, suspek juga mendakwa tidak menyalahgunakan butiran peribadi yang diterima dan tiada meminta sebarang ganjaran daripada rakan-rakannya.
“Suspek mendakwa sudah musnahkan surat-surat tawaran kerja palsu yang dia berikan kepada rakan-rakannya termasuk pengadu menggunakan mesin pencincang kertas di Pejabat Daerah Samarahan,” katanya.
Razarudin berkata permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada hari ini untuk siasatan lanjut yang akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun sama.
Semalam, media melaporkan satu laporan polis dibuat oleh pihak Fadillah berhubung penyebaran surat palsu menggunakan nama Fadillah yang dikesan berlaku di Sarawak.
Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Misiah Taib, dilaporkan berkata laporan polis dibuat pegawai keselamatan Fadillah di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, kelmarin.
Laporan polis itu dibuat selepas seorang kakitangan awam di Kuching memaklumkan kepada Fadillah menerusi aplikasi Whatsapp Khamis lalu bahawa beliau terbaca dua surat berkepala rasmi Jabatan Perdana Menteri, di pejabat agensi kerajaan di Kuching, Selasa lalu.
Surat berkenaan yang memetik nama Fadillah namun tiada tandatangannya menawarkan pelbagai jawatan dan kelulusan kuarters kerajaan yang disebarkan individu yang menyamar sebagai pegawai kepada Fadillah.
Berikutan itu, Fadillah dalam satu kenyataan Khamis lalu menafikan pihaknya mengeluarkan surat pelantikan individu sebagai pegawai di pejabatnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.