comscore
Tumpuan :
Nasional

Suspek darjah 5 antara dipanggil polis kes buli sekolah rendah di Kuala Krai

Tangkap layar video tular

KUALA KRAI: Polis menjalankan siasatan terhadap video tular baru-baru ini di media sosial, membabitkan kejadian buli dipercayai di sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, laporan kejadian diterima pihaknya daripada bapa mangsa buli itu jam 10.55 pagi semalam.

Jelasnya hasil siasatan awal, ketika kejadian 12.10 tengah hari pada 14 September lalu mangsa sedant berada di luar bilik darjahnya sebelum dia didatangi dua murid lain yang kemudian dipercayai memukulnya.

“Hasil pemeriksaan pakar perubatan terhadap mangsa mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesan lebam pada badan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Suzaimi berkata, kedua-dua suspek itu adalah kanak-kanak berumur 11 tahun dan juga murid sekolah berkenaan.

“Kesemua murid terbabit dalam kejadian ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai untuk diambil keterangan bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan siasatan akan dilakukan merangkumi semua aspek.

“Dalam masa sama, kejadian ini juga sudah dimaklumkan kepada pihak sekolah dan tindakan sudah diambil,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan serta dibimbangi boleh mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, tular video berdurasi 14 saat di media sosial melalui Facebook dan Twitter yang memaparkan dua orang murid lelaki membuli seorang murid lain di belakang bangunan sebuah sekolah.

Baca juga: Kes buli, satu garis panduan akan dikeluarkan tidak lama lagi – KPM

Loading...
Terkini