comscore
Tumpuan :
Nasional

Suspek kes simbah asid, dikesan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal – KPN  

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan lelaki yang ditahan selepas terbabit dalam kejadian serangan terhadap pemain bola sepak negara malam tadi dikesan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan ketika kejadian.

Tegas Razarudin suspek berusia 20-an itu ditahan di Pandan Jaya, Ampang, oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Saya sahkan penahanan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes serangan ini dan dia dikesan berdasarkan dapatan siasatan di lokasi kejadian di Petaling Jaya.

“Dia dikesan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal jenis Yamaha yang digunakan semasa di lokasi kejadian petang semalam (Ahad).

“Pada masa ini biar pihak polis menjalankan siasatan bagi mendapatkan motif sebenar mengenai kejadian ini,” katanya ketika ditemui,
pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024, di sini, hari ini.

“Kami (polis) berharap supaya mana-mana pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi terhadap kejadian ini sehingga siasatan sedang dilengkapkan.

“Pada masa ini Polis Kontinjen Selangor sudah merakam keterangan dari tiga individu termasuk Faizal selain akan memanggil beberapa lagi saksi bebas yang dijangka dilakukan hari ini,” katanya.

Beliau turut menafikan bahawa kononnya kes serangan terhadap Faizal dan Akhyar mempunyai kaitan dengan pengendali pertaruhan (bookie) yang mengatur keputusan perlawanan.

“Seperti yang saya tegaskan mana-mana pihak untuk tidak mereka-reka cerita yang tidak benar sehingga siasatan dijalankan.

“Beri kami ruang dan masa untuk siasatan berhubung kes ini dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim mengalami kecederaan teruk di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang semalam.

Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain sensasi kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain tersebut mengalami kecederaan.

Difahamkan, suspek melarikan telefon bimbit dan dompet pemain tersebut sebelum melarikan diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini