
TANGKAK: Suspek kes dadah yang lolos dari tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di sini, tiga hari lalu berjaya ditahan semula, pagi ini.
Suspek lelaki berusia 38 yang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, diberkas ketika bersembunyi di sebuah rumah di Kluang pada jam 10.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai keberadaan lelaki itu sebelum bergegas ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba, polis mendapati lelaki terbabit adalah dikehendaki polis selepas melarikan diri dari IPD Tangkak pada jam 1.30 tengahari, 15 Januari lalu.
“Hasil penahanan suspek membawa kepada rampasan sebuah motosikal yang dicuri oleh suspek ketika melarikan diri pada hari kejadian.
“Dengan dipandu oleh arah suspek, polis turut menahan dua lagi rakannya kerana disyaki bersubahat melindungi pesalah yang melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.
Roslan berkata, suspek dan dua rakan subahat kemudiannya dibawa ke IPD Tangkak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan sah.
“Polis berterima kasih kepada orang awam kerana menyalurkan maklumat sehingga tertangkap suspek yang dikehendaki,” katanya.
Rabu lalu, suspek bertindak terjun dari tingkat dua IPD Tangkak sebelum melarikan diri dalam keadaan kedua-dua tangan bergari.
Difahamkan, suspek turut melarikan sebuah motosikal yang diparkir di hadapan sebuah pasar raya di bandar ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.