KUALA SELANGOR: Seorang lelaki yang diburu polis selama empat hari selepas menceroboh rumah dan menumbuk jirannya sehingga cedera di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, akhirnya ditahan, hari ini.
Suspek berusia 34 tahun itu ditangkap anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Balai Polis Kuala Selangor di tepi Jalan Perusahaan, Bandar Baru Kuala Selangor pada jam 7.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, berkata suspek mempunyai dua rekod jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah.
“Semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah dan tiga rekod dadah. Suspek dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk proses lanjut.
“Motif kejadian juga masih disiasat,” katanya dihubungi.
Terdahulu, media melaporkan, mangsa berjiran dengan suspek yang dikenali sebagai Shamsul Atin dan ketika kejadian, mangsa tinggal sendirian.
Suspek masuk ke rumah ketika pintu terbuka dan menerkam serta menumbuk mangsa sehingga lebam di mata kiri selain luka di bibir.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447/323 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.