comscore
Tumpuan :
Nasional

SUV terbalik dan terbakar di Jambatan Kedua Pulau Pinang

Foto ihsan JBPM

BATU KAWAN: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbalik dan terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 6.3 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini, tengah hari tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar, berkata kemalangan itu membabitkan dua SUV jenis Mazda CX3 dan Mazda CX5.

“Hasil siasatan awal mendapati Mazda CX3 yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun dari arah Teluk Kumbar menghala Batu Kawan.

“Ketika kejadian wanita itu sedang memandu di lorong kiri sebelum tiba-tiba datang SUV jenis Mazda CX5 masuk ke laluannya sebelum melanggar bahagian hadapan sisi kanan kenderaan itu.

“Berikutan pelanggaran itu menyebabkan Mazda CX5 terbabas dan terbalik di lorong kecemasan sebelum terbakar,” katanya.

Jelasnya, wanita itu cedera di bahagian siku kanan manakala mangsa dalam Mazda CX5 dikatakan mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital oleh orang awam.

“Siasatan lanjut mendapati kemalangan berpunca daripada Mazda CX5 yang mengubah laluan dan kita sedang mengesan mangsa yang dihantar ke hospital serta saksi awam bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut  Seksyen 6(1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kawan, Azmi Tahar, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan dengan bantuan BBP Bayan Baru ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.08 tengah hari berhubung insiden berkenaan.

“Apabila tiba, terdapat sebuah kereta (Mazda CX5) mengalami kebakaran sehingga 80 peratus.

“Kita kemudian menjalankan kerja-kerja pemadaman api sebelum menamatkan operasi jam 1.32 tengah hari,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini