comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Syahid Saddam Spartan Cilik Negara


Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Biarpun usia Spartan Cilik ini baru lapan tahun, namun ia bukan penghalang buat Syahid Al Zahran Mohd Saddam menggondol kejuaraan berganda di Kejohanan Spartan Kids di Johor, Malaysia dan Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Ujar Syahid Al Zahran, prinsip tidak menyerah kalah sebelum berjuang menjadi kunci buatnya untuk lebih bersemangat menempa nama dalam pelbagai siri kejohanan antarabangsa.

Semua ini, kerana tekadnya yang mahu menjadi atlet negara dalam acara sukan lari berhalangan seperti bapanya Mohd Saddam Mohd Pittli, 33.

“Syahid minat sangat sukan ini dan Syahid nak jadi atlet macam abah.” katanya yang ditemui Buletin TV3.

Dalam pada itu, bapanya, Saddam Pittli berkata, bakat putera sulungnya ini mula dikesan sejak berusia dua tahun.

Jelasnya, potensi tersebut dikesan susulan keinginan Syahid yang gemar mengikuti Saddam berlatih di trek.

Tidak mahu mensia-siakan bakatnya, Saddam juga memberitahu, Syahid kini bergiat aktif secara kompetitif sejak di usia tujuh tahun menerusi pelbagai siri kejohanan tempatan dan antarabangsa.

“Syahid bermula secara kompetitif sejak umurnya tujuh tahun lagi, menerusi satu kejohanan kategori terbuka di Sarawak

“Dalam kategori itu, Syahid peroleh tempat keenam keseluruhan yang mana di kedudukan teratas tersebut majoritinya peserta antarabangsa

“Sejak itu, saya nampak Syahid ini boleh pergi lebih jauh lagi memandangkan usianya ketika itu baru berusia tujuh tahun”, kongsinya kepada Buletin TV3.

 

Bercerita mengenai latihan diterapkan kepada Syahid, Saddam berkata, larian sejauh 7KM disusuli pelbagai rutin dan intensiti dilalui Syahid setiap hari tanpa gagal.

Meskipun terikat dengan jadual persekolahan yang padat, Syahid kekal bersemangat menjulang tekad untuk menjadi atlet negara satu hari nanti.

“Tidak dinafikan, kadang-kadang saya memang nampak dia keletihan balik sekolah dan saya memang minta dia rehat seketika dari latihan.

“Namun, pandangan itu tak mendapat sambutan baik daripada dia, bila saya cadangkan begitu mesti dia akan nangis atau merajuk

“Jadi, daripada situ, memang saya nampak kesungguhan dia”, katanya.

Kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha yang gigih.

Berkat kesungguhannya selain menjadi juara di Kejohanan Spartan peringkat antarabangsa, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur ini juga pernah menduduki tempat  ke-70  dalam kategori terbuka acara larian menara MBPJ 2023.

Bukan itu sahaja, Syahid kini giat membuat persiapan menuju kejohanan Spartan Kids mewakili Malaysia ke Singapura Jun depan.

Semoga kejayaan memihak Spartan cilik negara ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini