comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat antarabangsa tawar gaji lebih RM4,000 kepada lepasan TVET – Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Sambutan Hari TVET Negara dan Pelancaran Dasar TVET Negara 2030 di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, hari ini. – Foto NSTP

BANTING: Pelbagai syarikat antarabangsa bersedia menawarkan gaji permulaan lebih tinggi kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, berkata ia dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan pengurusan syarikat berkenaan, selain perjanjian persefahaman (MoU) bagi tujuan itu sudah dimeterai sebelum ini.

Katanya, perkembangan itu berdasarkan realiti industri memerlukan pekerja berkemahiran yang boleh diperoleh menerusi TVET.

“Dalam pertemuan saya bersama beberapa syarikat antarabangsa, mereka maklumkan sanggup bayar gaji minimum lebih RM4,000 (AS$1,000). Ada MoU sudah kita meterai dengan syarikat berkenaan, aspek latihan akan mengikut keperluan syarikat dan kilang terbabit.

“Ia bagi mengelak ketidakpadanan serta pertindihan peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari TVET Negara dan Pelancaran Dasar TVET Negara 2030 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas keperluan kerajaan merangka dasar mewajibkan majikan swasta mengambil lepasan TVET sebagai tenaga kerja di organisasi mereka.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika mengulas peruntukan tambahan RM200 juta diumumkan Anwar kepada bidang TVET semalam, menjelaskan dana berkenaan akan diagihkan mengikut kursus dan institusi berkaitan.

“Sebagai permulaan, kita akan bahagikan kepada kursus khusus dan bekerjasama rapat dengan institusi TVET. Menjelang bulan depan, pengambilan (pelajar TVET) sudahpun disenarai pendek sehingga hujung tahun ini dan sekurang-kurangnya 15,000 akan dilatih.

Beliau juga memberi jaminan akan memastikan pelajar TVET turut dilengkapi nilai bagi memupuk ketrampilan dan disiplin sebagai persediaan sebelum menjejak masuk alam kerjaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini