comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat diskriminasi produk minyak sawit boleh dikenakan tindakan – Johari Ghani

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penggunaan label bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit itu adalah dilarang mengikut akta berkenaan dan tindakan tegas boleh diambil terhadap syarikat yang mengeluarkan produk berkenaan.-Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pihak yang terbabit dalam penjualan produk berlabel ‘Tanpa Minyak Sawit’ boleh dikenakan tindakan sehingga RM250,000 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penggunaan label bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit itu adalah dilarang mengikut akta berkenaan dan tindakan tegas boleh diambil terhadap syarikat yang mengeluarkan produk berkenaan.

Justeru, Johari berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi menjalankan penguatkuasaan berkenaan.

“Kita ada undang-undang yang menyatakan mana-mana diskriminasi produk kita khususnya kelapa sawit, boleh didenda RM250,000.

“Walaupun akta ada, tetapi tidak buat (penguatkuasaan). Jadi saya akan bincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk laksanakan penguatkuasaan.

“Kita akan pergi ke pasar raya yang pasarkan produk ini dan akan dikenakan tindakan serta merta. Sama ada mereka tarik produk itu atau dikenakan denda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FGV dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Pelancaran Label Baharu Minyak Masak Saji dengan Logo MSPO di AEON Big Wangsa Maju di sini hari ini.

Pada 2021, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah menjalankan kaji selidik bagi mengenal pasti produk berlabel diskriminasi terhadap minyak sawit di pasaran Malaysia.

Sebanyak 80 daripada 251 premis yang ditinjau di sekitar Lembah Klang, didapati memaparkan produk berlabel ‘Tanpa Minyak Sawit’.

Kebanyakan premis dengan produk sedemikian terletak di Petaling Jaya, Subang Jaya, Cyberjaya serta pusat bandar Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Johari berkata pihaknya turut meminta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk menahan produk mempunyai label ‘Tanpa Minyak Sawit’ di pintu masuk daripada dibawa masuk ke negara ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini