comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat ingin mohon diesel subsidi perlu penuhi 23 kategori kenderaan layak

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Syarikat yang ingin memohon diesel bersubsidi Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 perlu memastikan kenderaan milik syarikat memenuhi 23 kategori kenderaan layak yang disenaraikan Kementerian Kewangan (MoF) pada 29 Mei lalu.

Kementerian Pengangkutan (MoT) berkata, pemilik 23 kategori itu perlu memastikan syarikat memenuhi empat syarat kelayakan memohon diesel bersubsidi SKDS 2.0.

“Syarikat mesti berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 atau entiti perniagaan tunggal atau perkongsian yang berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 atau Akta Perkongsian Liabilti Terhad 2012.

“Ia juga mesti mempunyai kenderaan berdaftar di bawah pemilikan syarikat / perniagaan tunggal atau perkongsian.

“Kenderaan juga mesti mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang berkuat kuasa atau tidak tamat tempoh selain ia mesti terdiri daripada 23 jenis kenderaan layak seperti disenarai MoF,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi SKDS 2.0 ketika ini hanya membabitkan 23 kategori kenderaan layak beroperasi di Semenanjung iaitu antaranya kenderaan jenis Lori Rigid – Kargo Am, Penggerak Utama, Lori Rigid – Refrigerated, Lori Rigid – Tangki Tepung, Lori Rigid – Luton/Kotak, Window Van, Lori Rigid – Tangki Air dan Panel Van.

Jenis kenderaan lain yang turut disenaraikan ialah Lori Rigid – Minuman Botol, Lori Rigid – Curtainsider, Lori Food Catering, Lori Rigid – Hasil Pertanian, Lori Tangki Rigid – Minuman, Lori Rigid – Kandang Haiwan, Semi – Panel Van.

Selain itu, Lori Rigid – Kombinasi, Bas Perkhidmatan Bergerak, Lori Rigid – Open Platform, Van Perkhidmatan Bergerak, Bas Food Catering, Van Food Catering, Lori Rigid – Perkhidmatan Bergerak dan Lori Rigid – Sampah.

Menurut kenyataan itu lagi, SKDS 2.0 seperti diumumkan MoF akan membantu mengekang isu ketirisan dan penyeludupan diesel serta memastikan hanya golongan layak dapat memanfaatkan subsidi terbabit.

“Penjimatan daripada rasionalisasi itu dapat disalurkan bagi membiayai program pembangunan pengangkutan perkhidmatan awam yang lebih berimpak demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Katanya, pelaksanaan subsidi diesel sudah bermula pada 2013 di seluruh negara yang mana sebanyak 10 jenis kenderaan dari sektor pengangkutan awam darat terbabit.

“Ia membabitkan bas ekspres, bas sekolah, bas henti-henti, kereta sewa, bas mini, bas pengantara, bomba (pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ambulans (NGO), van atau lori mayat serta teksi,” katanya.

Katanya, bagi pemilik kenderaan diesel persendirian individu, mereka yang layak akan menerima bantuan tunai menampung kenaikan kos pengangkutan harian susulan pelaksanaan rasionalisasi ini.

“Bagaimanapun, ada beberapa syarat kelayakan perlu dipenuhi termasuk pemohon perlu memiliki LKM yang masih aktif dan lain-lain syarat yang boleh dirujuk melalui laman web https://budimadani.gov.my/.

“Mana-mana pemilik kenderaan yang memenuhi kriteria tetapi gagal dalam permohonan dari segi klasifikasi, jenis, kegunaan dan kategori pendaftaran kenderaan boleh merujuk kepada Bahagian Kejuruteraan Automotif atau Bahagian Pendaftaran dan Pelesenan Kenderaan, Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau mana-mana cawangan JPJ Negeri untuk semakan spesifikasi sebenar kenderaan,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel boleh menghubungi Pusat Panggilan SKDS 2.0 bermula 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja di talian 03-8882 6769 / 5917 / 6176 / 5894 / 5893.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini