comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Syarikat konglomerat diseru sokong industri seni & budaya negara

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru syarikat konglomerat di negara ini memanfaatkan keuntungan mereka dengan menyokong industri seni dan budaya.

Memberi contoh pembangunan muzium dan teater di negara Barat, Anwar berkata, ia bukan sahaja menerusi usaha kerajaan tetapi komitmen serta minat syarikat konglomerat di negara berkenaan.

“Seperti mana saya gesa dulu, ada usaha dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, seni, teater, ada usaha untuk mendukung (perkara itu).

“Kalau kita ada 30 (syarikat) konglomerat dan beri sokongan dalam pelbagai bidang, itu akan memperkayakan seni, sastera, budaya serta pendidikan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran ‘Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan?’ di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Mengulas mengenai pameran lukisan itu, Anwar berkata, pameran yang dianjurkan oleh MKIM  antara yang terbesar di dunia.

Justeru, beliau mengajak golongan penyelidik, ibu bapa, mahasiswa dan pelajar untuk memanfaatkan waktu dengan menghadiri pameran berkenaan.

“Mungkin ramai tidak tahu tentang pameran ini, (ia) agak unik kerana tidak dipersembah di mana-mana di dunia melainkan di muzium di London. Itupun skala kecil.

“Skala besar ini yang terbesar pernah diadakan di dunia (iaitu di MKIM). Jadi sewajar masyarakat menggunakan peluang ini kerana kalau di tempat lain, kosnya terlalu tinggi,” katanya.

Ujarnya, individu yang memahami nilai dan makna dari segi pendidikan, pendedahan dan ilmu kesenian tidak akan mensia-siakan peluang itu.

“Sekarang ini musim cuti sekolah, jadi saya harap ibu bapa memanfaatkan waktu (membawa anak), beberapa jam untuk melihat, merenung dan memahami apa itu karya indah seni.

“Seni lukisan atau puisi itu pencernaan dari hati nurani yang dilakar dengan bahasa ataupun lakaran indah yang tidak mampu dilakukan oleh orang biasa. Hanya beberapa orang dalam jutaan manusia yang boleh melakar dalam bahasa yang indah atau dalam lukisan yang cantik,” katanya.

Melakar sejarah yang tersendiri di Asia, MKIM mempersembahkan pameran seni definitif dari era keemasan Orientalisme.

Pameran istimewa koleksi lukisan dari abad ke-19 dan awal abad ke-20 itu belum pernah lagi diperlihatkan di luar Eropah mahupun Amerika.

MKIM adalah antara pemilik koleksi lukisan Orientalis terbesar di dunia.

Loading...
Terkini