comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat Nikmati Potongan Cukai Jika Anjur Program Anti Rasuah SPRM

FOTO: NSTP

LANGKAWI: Potongan cukai akan diberi kepada mana-mana syarikat yang melaksanakan program antirasuah atau program integriti secara kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Syarikat layak layak untuk menuntut potongan cukai mengikut Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan ia tertakluk kepada kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Secara dasarnya, setiap syarikat perlu mengemukakan surat permohonan dan kertas kerja program kerjasama kepada SPRM, yang mana SPRM akan memantau pelaksanaan program dan menyemak penyata kewangan atau kos pelaksanaan program, sebelum syarikat mengemukakan permohonan potongan cukai kepada LHDN.

Terbaru, SPRM Kedah merasmikan Program Hero Antirasuah SPRM Negeri Kedah dengan kerjasama Panorama Langkawi Sdn Bhd.

Program itu dirasmikan Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap dan disaksikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Sdn Bhd, Ir. Abu Hashim Abdul Rahman.

Program pemasangan iklan bermesejkan antirasuah di gondola Panorama Langkawi Sdn Bhd itu adalah hasil usahasama beberapa rakan strategik yang lain iaitu Syarikat Evergreen Wood Furniture Sdn Bhd, Syarikat C.A.S. Marketing Sdn Bhd dan Syarikat Evergreen Freelife Sdn Bhd.

Ia sebagai usaha untuk merealisasikan dan melaksanakan program antirasuah serta program integriti dengan kerjasama SPRM.

Dalam ucapan perasmiannya, Shaharom Nizam menyeru mana-mana syarikat atau pertubuhan untuk menjadi rakan strategik SPRM bagi bekerjasama bagi melaksanakan program anti rasuah serta program integriti dalam usaha mewujudkan Malaysia Bebas Rasuah.

Beliau juga mengharapkan masyarakat dapat menyalurkan sebarang maklumat yang berunsur rasuah dan bersedia menjadi saksi SPRM apabila diperlukan.

Hadir sama pada program itu ialah ahli Angkatan Mahasiswa Antirasuah Malaysia (AMAR) dari Institut Perguruan Kampus Darul Aman (IPGKDA).

Mereka turut mengedar risalah pencegahan rasuah kepada pengunjung-pengunjung yang hadir di sekitar Langkawi Cable Car. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini