comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat telekomunikasi diberi 20 hari muktamad pegangan ekuiti dalam DNB 

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lima syarikat telekomunikasi di negara ini diberi tempoh masa 20 hari untuk memuktamadkan pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, perkara itu antara prasyarat wajib dikenakan kepada syarikat berkenaan untuk terlibat dalam pelaksanaan rangkaian kedua 5G.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan bahawa arahan itu dikeluarkan pada mesyuarat pertama Lembaga Pengarah DNB semalam yang dihadiri wakil setiap syarikat telekomunikasi tersebut.

“Dalam tempoh masa tidak terlalu lama dari sekarang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengumumkan proses tender yang akan membolehkan syarikat yang ingin terlibat dalam bidaan bagi rangkaian kedua memasukkan bidaan masing-masing.

“Tapi prasyaratnya adalah hanya syarikat yang telah melengkapkan SSA (perjanjian langganan saham) boleh memasukkan tender, jadi inilah langkah seterusnya dan telah diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

Pada 23 Ogos tahun lalu, Jemaah Menteri bersetuju supaya model pelaksanaan rangkaian tunggal 5G ditukar kepada dwirangkaian sebaik mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sehingga 30 April lalu, capaian rangkaian 5G di kawasan berpenduduk mencecah 81.5 peratus, manakala dari segi penerimagunaan pula mencapai 39.2 peratus iaitu peningkatan 3.8 peratus berbanding hujung Mac lalu.

Jelasnya, terdapat 13.2 juta akaun 5G membabitkan  12.78 juta akaun pengguna dan 422,609 akaun perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Ini adalah satu keadaan yang baik bagi individu manakala bagi PMKS, insya-Allah dalam tempoh sekitar seminggu atau dua minggu akan datang, MCMC dan pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menandatangani satu perjanjian persefahaman.

“(Perjanjian) untuk membantu syarikat PMKS menerima guna dan melaksanakan penggunaan rangkaian 5G bagi perniagaan mereka, ini dalam proses,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini