comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Syarikat umrah berdepan 63 pertuduhan, gagal bayar RM589,031 kepada 21 mangsa

PUTRAJAYA: Sebuah syarikat pengendali pakej umrah dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas 63 pertuduhan kerana gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) supaya membayar balik tuntutan wang RM589,031 kepada 21 mangsa.Syarikat berkenaan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd diwakili kedua-dua pengarah berkenaan iaitu Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan Datin Mazuin Mustafa, 43, yang juga suami isteri.

Pasangan terbabit mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Foto: NSTP

Mengikut pertuduhan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, Zulkarnain dan Mazuin selaku orang kena saman (OKS) masing-masing berdepan 21 pertuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat TTPM di Aras 5, Podium 2, No 13, Persiaran Perdana Presint 2, di sini, antara 8 Jun hingga 25 Ogos 2023.

Pendakwaan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria, mencadangkan kedua-dua OKS masing-masing diikat jamin RM42,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela ketiga-tiga OKS, Datuk Hanif Hassan, membantah sebarang jaminan dikenakan kerana tiada keperluan, namun bersetuju dengan syarat tambahan iaitu pasport diserah pada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat KDN.

Majistret kemudian membenarkan jaminan RM6,300 terhadap kedua-dua pengarah itu dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Sebutan semua kes ditetapkan 26 Februari ini.

Loading...
Terkini