comscore
Tumpuan :
Nasional

Syed Abu Hussin serah pada Speaker Dewan Rakyat putuskan keabsahan kedudukan sebagai Ahli Parlimen

Oleh: Kumaran Rajamoney

TAIPING: Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyerahkan kepada speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagi memutuskan keabsahan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Ini susulan dari tindakan BERSATU yang mengeluarkan nama beliau dan lima lagi Ahli Parlimen dari senarai keahlian parti itu, yang dilakukan secara pemberhentian secara konstruktif.

Peruntukan 49A(1) Perlembagaan Persekutuan katanya secara jelas menyebut perkataan “Dia”yang merujuk kepada seseorang Ahli Parlimen perlu melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti politik.

“Ini menunjukkan bahawa keputusan dibuat oleh parti adalah tidak tepat kerana hanya Ahli Parlimen berhak membuat pengisytiaran itu. Maka, apa yang dilakukan BERSATU ini adalah muslihat politik iaitu meminda perlembagaan selepas saya membuat keputusan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.”

“Perkara 49A(2)(c) bagaimanapun jelas menyatakan bahawa kedudukan sebagai Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti apabila BERSATU memecat saya daripada keanggotaan parti.”

Merujuk perkembangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang kini kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negerinya turut diberikan arahan sama dari BERSATU, Datuk Syed terbuka sekiranya speaker Dewan Rakyat memutuskan untuk mengosongkan kerusi parlimen diwakilinya.

“Saya sudah menghantar surat kepada Tan Sri Johari pada 27 Jun lalu bagi mempertahankan diri saya. Beliau sudah menerima namun belum ada sebarang perbincangan susulan mengenainya.”

“Saya yakin keadaannya berbeza dengan keputusan di DUN Neggiri. Namun, Jika diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) saya sedia mempertahankan kerusi ini,” katanya.

Jelas Datuk Syed, tindakan beliau memberikan sokongan kepada Perdana Menteri adalah sebahagian dari usaha memastikan nasib rakyat di Bukit Gantang terus terbela tanpa terperangkap di dalam agenda politik partinya.

Jelasnya, BERSATU dilihat mahu membentuk gelombang kebencian secara berterusan kepada kerajaan demi manfaat politik dan mengabaikan kepentingan rakyat.

Untuk rekod, pada 12 Jun lalu Datuk Syed telah menerima notis dari Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memaklumkan namanya telah dikeluarkan daripada sistem keahlian parti itu, disusuli surat kepada Speaker Dewan Rakyat pada keesokkannya.

Lima lagi Ahli Parlimen yang terlibat adalah Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini