KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 59 penerima sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-68 di Balairong Seri, Istana Iskandariah, di sini.
Mengetuai senarai penerima adalah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad selaku penerima Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Ia disusuli darjah sama yang turut dikurniakan kepada Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation Sdn Bhd yang juga Pengerusi Eksekutif Spritzer Berhad, Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.
Menyusuli tiga penerima itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron, penerima tunggal Darjah Datuk Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.
Sultan Perak turut menganugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) kepada lapan penerima; Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) kepada enam penerima yang masing-masing membawa gelaran Datuk.
Istiadat semalam juga menyaksikan penganugerahan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada 13 penerima dan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 28 penerima.
Antara penerima DPMP semalam yang membawa gelaran Datuk adalah bekas pegawai undang-undang PETRONAS sebelum bersara sebagai Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Abdul Rahim Mydin, yang juga penulis undangan akhbar New Straits Times.
Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima Bhd, Farrah Naz Karim, pula antara 28 penerima PMP.
Keseluruhan, seramai 213 individu tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran serta Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 Sultan Nazrin yang disambut pada Jumaat, 1 November lalu.
Penyampaian darjah kebesaran dan pingat yang berbaki 154 penerima iaitu selepas 59 penerima hari ini akan dilaksanakan pada sesi kedua istiadat iaitu pada 16 November ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.