comscore
Tumpuan :
Nasional

Syor PRN serentak enam negeri selepas penggal DUN berakhir

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Pilihan raya serentak di enam negeri wajar diadakan selepas Februari atau Mac depan atau seelok-eloknya sehingga tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang itu berakhir.

Penganalisis politik berpandangan, mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan perkara mendesak ketika ini kerana kerajaan perlu memberi keutamaan kepada usaha menangani kesan Monsun Timur Laut (MTL) dan jangkaan negara berdepan situasi mencabar kemelesetan ekonomi global tahun depan.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berpandangan PRN selepas Februari atau Mac tidak menjadi isu kerana ketika itu, MTL yang membawa hujan lebat dan risiko banjir, sudah berakhir.

“Cumanya isu ekonomi tidak akan lari, namun kerajaan negeri hanya mempunyai tanggungjawab yang minimum dalam menentukan hala tuju ekonomi negara. Jadi bagi saya, mendesak untuk PRN secepat mungkin adalah tidak adil.

“Tidak seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang dilihat ada sebab (diawalkan) dan beberapa perkara mendesak lain,” katanya ketika dihubungi BH.

Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang masing-masing mentadbir tiga negeri sebelum ini, seakan bersetuju dengan cadangan PRN serentak, seiring syor Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun ada pemimpin PN mahu lebih awal, khususnya bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Azmi berkata, PN yang mentadbir negeri didominasi penduduk Melayu dan PH yang mentadbir Selangor, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang, perlu bersepakat mengenai tempoh waktu sesuai untuk diadakan PRN, sebaik-baiknya dibuat serentak.

“Biarlah sehingga habis penggal supaya PRN dapat diadakan serentak dan kos ditanggung kerajaan adalah paling minimum. Paling penting adalah waktu yang sesuai di mana PH dan PN boleh setuju untuk membubarkan DUN serentak,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani juga bersetuju PRN enam negeri itu diadakan selepas penggal berakhir, paling sesuai pada Mei atau Jun, iaitu selepas Aidilfitri dan sebelum Aidiladha.

Loading...
Terkini