comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tabah hadapi ujian banjir, calon SPM gigih ulang kaji di PPS

 

PASIR GUDANG: Diduga apabila kediaman ditenggelami banjir, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap gigih mengulang kaji pelajaran demi memantapkan persediaan untuk menduduki peperiksaan itu yang dijadualkan bermula Isnin depan.

Calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Nor Syahirah Azrin, 18, menganggap keadaan agak sukar itu sebagai cabaran yang mendorongnya terus berusaha supaya lebih berjaya, biarpun terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, rumahnya di Kampung Sentosa Damai dinaiki air, kelmarin, menyebabkan baju seragam sekolah terkesan.

Muhd Aidil Haqimi (kanan), Nor Syahirah (dua dari kanan) dan pasangan kembar, Nursuhada Roslim (kiri) serta Nurwahida Roslim (dua kiri), masing-masing berusia 18 tahun, mengulang kaji pelajaran dengan menggunakan telefon bimbit di PPS Dewan Muafakat Cahaya Baru Masai. – Foto: NSTP

“Apabila tiba musim hujan, cikgu memang sudah pesan kepada pelajar supaya buku dan peralatan sekolah diletakkan di tempat tinggi. Oleh itu, saya menyimpan buku teks, buku latihan dan buku tulis di tingkat dua.

“Cuma, baju sekolah yang basah tetapi sudah dibasuh. Kelmarin, hujan sangat lebat ketika saya sedang bersiap hendak ke sekolah kira-kira jam 6.30 pagi. Air kemudian mula naik menyebabkan saya tidak dapat ke sekolah.

“Saya tetap bersemangat menduduki SPM pada Isnin nanti. Tahun lalu, abang juga menduduki SPM ketika banjir dengan mengenakan pakaian biasa ke sekolah,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Muafakat Cahaya Masai, di sini, hari ini.

Seorang lagi calon SPM, Muhd Aidil Haqimi Abu Bakar, 18, mengaku sudah ‘penat’ berdepan banjir yang kerap melanda kawasan kediamannya.

“Tidak tahu hendak kata apa memikirkan keadaan rumah dinaiki air hampir setiap bulan. Namun, saya tetap mengulang kaji pelajaran untuk persediaan menduduki peperiksaan mulai Isnin ini,” katanya.

Loading...
Terkini