KUALA LUMPUR: Prasangka mengenai tabiat membaca rakyat Malaysia yang dikatakan merudum sebenarnya tidak tepat jika diukur kepada jumlah peminjam bahan bacaan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), menurut Ketua Pengarahnya, Salasiah Abdul Wahab.
Berdasarkan kajian PNM pada 2022, jumlah keseluruhan peminjaman bahan adalah sebanyak 695,488 naskhah merangkumi bacaan fizikal dan digital dengan pinjaman bacaan digital lebih tinggi iaitu 71 peratus.
Data terbaharu itu jelas mematahkan banyak laporan sebelum ini yang masih tersekat pada angka lapuk misalnya, statistik pinjaman buku dari perpustakaan adalah hanya 0.13 peratus bagi keseluruhan penduduk.
Sedangkan data yang dipetik itu sudah pun berusia lebih 10 tahun.
Malah tidak kurang juga masih gemar memetik data sekitar 20 tahun lampau kononnya rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun.
Salasiah berkata secara umum orang Malaysia masih gemar membaca, apa yang membezakan adalah pengguna hari ini lebih berminat membuat peminjaman buku secara dalam talian berbanding manual sebelum ini.
Katanya, hal ini mungkin disebabkan penularan COVID-19 yang menyebabkan PNM juga perpustakaan lain di seluruh negara perlu ditutup kepada orang awam dalam tempoh lama.
“Namun ia menjadi titik mula perkembangan perpustakaan digital apabila pengguna mula menggunakan perkhidmatan digital secara aktif.
“Untuk tahun 2019, statistik peminjaman bahan digital adalah sebanyak 167,374. Statistik ini meningkat dengan mendadak dan peningkatan tertinggi adalah pada tahun 2021 iaitu sebanyak 242 peratus penggunaan,” katanya.
Tegas Salasiah, meskipun perkhidmatan digital sudah diwujudkan sejak 2011 menerusi khidmat u-Pustaka, namun pengguna mula peka akan kewujudannya apabila berlaku penularan COVID-19.
Justeru katanya, sejak 2020 perkhidmatan digital mula dilihat berkembang dan semakin stabil penggunaannya.
Salasiah berkata, statistik penggunaan bahan dalam talian meningkat sehingga 134.1 peratus pada tahun 2020 iaitu bersamaan 13,680,177 naskhah, berbanding tahun 2001 iaitu 10,198,051.
Angka itu katanya selari dengan statistik 2022 yang merekodkan pengunjung ke PNM berjumlah 1.2 juta dengan 94.9 peratus adalah kunjungan maya.
Malah kadar peminjaman bahan secara dalam talian untuk tahun sama juga meningkat sebanyak 695,488 naskhah.
“Sesudah PNM kembali beroperasi seperti biasa kadar pinjaman bacaan digital masih baik manakala, keseluruhan pinjaman bahan fizikal juga didapati meningkat tahun lalu iaitu sebanyak 201,802 naskhah berbanding 101,336 pada 2021.
“Umumnya, genre yang paling banyak dipinjam adalah fiksyen diikuti teknologi, seni dan agama,” katanya.
Bagaimanapun peningkatan kunjungan maya tegas Salasiah tidak bermaksud jumlah pengunjung secara fizikal ke perpustakaan seluruh negara termasuk PNM mula merosot.
Sebaliknya, PNM masih merekod kunjungan awam dengan sejumlah 61,199 dicatatkan pada tahun 2022.
Daripada keseluruhan jumlah itu, 65.5 peratus adalah pengunjung dewasa dan bakinya kanak-kanak.
Malah dalam kajian PNM juga, 506 perpustakaan desa di seluruh negara terus dikunjungi awam dengan seramai 439,851 orang direkodkan.
“Selain membuat pinjaman buku atau bahan rujukan, biasanya pengunjung ke PNM atas tujuan penyelidikan atau menggunakan perkhidmatan perpustakaan yang lain selain tidak kurang atas sebab kunjungan rasmi.
“Dalam konteks perpustakaan desa pula, dapat dilihat dengan jelas kewujudannya adalah usaha kerajaan yang baik bagi menyediakan prasarana pembelajaran secara percuma kepada orang awam.
“Ia juga sebahagian usaha meningkatkan kadar literasi khususnya masyarakat luar bandar.
“Hal ini menunjukkan perpustakaan masih relevan dan terus dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat di kawasan bandar mahupun di desa,” katanya.
Tegas Salasiah, kesemua data ini menunjukkan tabiat membaca rakyat Malaysia kini boleh dikatakan sedang menjurus ke arah pendigitalan dan bergerak seiring dengan perubahan arus teknologi semasa.
Pengguna katanya, kelihatan cenderung menggunakan e-buku berbanding naskhah fizikal kerana lebih mudah dan cepat diakses selain senang dibawa.
Justeru katanya, PNM perlu sentiasa bersedia untuk melakukan perubahan bagi membina kepakaran dan menaik taraf kemudahan sedia ada.
“Teknologi baharu ini dapat merevolusikan perkhidmatan yang disediakan oleh PNM namun ia memerlukan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi yang baik serta peruntukan mencukupi bagi mengubah perkhidmatan digital kerajaan,” katanya.
Namun paling penting tegas Salasiah, kecanggihan capaian kepada maklumat ini seharusnya selari dengan peningkatan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat.
“Justeru PNM membuat pelbagai usaha untuk membudayakan tabiat membaca meneruskan kempen dan aktiviti.
“Kempen memupuk tabiat membaca ini bukan hanya dihadkan kepada murid sekolah tapi sebenarnya perlu diterapkan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia,” katanya.