comscore
Tumpuan :
Nasional

Tabung NSTP-Media Prima sumbang 2 bot, baucar tunai kepada mangsa banjir Mentakab

Syed Hussian Aljunid (kiri) pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Bencana NSTP-Media Prima di perkarangan Masjid Kampung Desa Bakti di Mentakab.

TEMERLOH: Beban 394 keluarga di Taman Mentakab Indah, dekat sini, yang terkesan akibat bencana banjir sedikit terubat selepas nasib menimpa mereka mendapat perhatian Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

Media Prima Berhad (Media Prima) melalui tabung berkenaan mengagihkan sumbangan dengan nilai keseluruhan RM109,200 termasuk dalam bentuk baucar tunai kepada mangsa berkenaan.

Selain sumbangan baucar tunai RM200 kepada setiap keluarga, turut disumbangkan dua bot gentian kaca berserta enjin dan troli kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Desa Bakti untuk digunakan sebagai persediaan menghadapi banjir.

Semua sumbangan diserahkan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Temerloh dengan disaksikan Pengerusi JPKK Kampung Desa Bakti, Abdul Rahman Awang.

Syed Hussain ketika ditemui berkata, Media Prima akan terus meninjau keadaan terkini pasca banjir dan akan turut membantu mangsa di negeri lain yang terkesan.

“Media Prima sangat aktif dalam melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti membantu mereka yang dilanda bencana alam, selain penyediaan bantuan perubatan kepada golongan kurang berkemampuan.

“Aktiviti CSR dapat dilaksanakan dengan sokongan padu daripada orang ramai melalui sumbangan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima,” katanya.

Syed Hussian berkata, sehingga hari ini ratusan ribu rakyat Malaysia menerima manfaat daripada sumbangan orang ramai kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

“Terima kasih kepada penyumbang yang memberi kepercayaan kepada kami untuk terus membantu dan menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

“Media Prima akan sentiasa beriltizam untuk terus menyumbang bakti kepada pemegang taruh yang memerlukan dan berharap ia dapat meringankan beban mereka yang terkesan,” katanya

Orang ramai boleh terus membuat sumbangan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima melalui akaun Maybank 5141-0532-0757.

Sementara itu, Abdul Rahman menyifatkan bantuan disalurkan amat bermakna bagi kira kira 600 penduduk yang terkesan kerana taman perumahan sekitar kawasan itu sering dilanda banjir.

Loading...
Terkini