comscore
Tumpuan :
Nasional

Taburan hujan lebat lebih 114 mm punca banjir di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Taburan hujan lebat melebihi 114 milimeter (mm) per sejam mengakibatkan 11 laluan di sekitar ibu negara, di sini dinaiki air hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, hujan lebat yang turun bermula kira-kira 8.30 pagi tadi mengakibatkan limpahan air terutama di Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak.

“Kawasan yang terjejas adalah Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen (Bulatan Dato’ Onn), Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Travers, Jalan Damansara (Bawah jejambat Semantan), Jalan Ledang dan Jalan Segambut.

“Turut terjejas, Jalan Genting Klang (berhadapan Shell) Jalan Genting Klang (berhadapan UTAR), Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sultan (Petaling Street),” menurut kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, DBKL berkata kejadian banjir itu berpunca daripada taburan hujan yang sangat tinggi iaitu melebihi 60 mm sejam.

Katanya, bacaan taburan hujan di stesen pusat bandar mencatatkan bacaan melebihi 114 mm.

“Petugas DBKL turun ke lapangan bagi memastikan situasi di kawasan tersebut dalam keadaan terkawal.

“Kerja-kerja yang dijalankan adalah seperti penyuraian trafik bagi membantu melancarkan pergerakan aliran trafik.

“Setakat jam 10.45 pagi, semua laluan utama di pusat bandar telah dibuka kecuali di Jalan Rahmat ditutup satu hala,” katanya.

Menurutnya, dua buah pam statik diaktifkan di Jalan Sultan Azlan Shah dan tiga buah pam mudah alih diatur gerak bagi mengepam air air bertakung.

Katanya, keadaan kembali beroperasi seperti biasa tidak lama kemudian susulan tindakan proaktif pihak DBKL.

Berdasarkan tindakan diambil DBKL, majoriti kawasan yang terlibat dapat dikawal dan air yang bertakung surut dalam tempoh 30 minit.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati apabila hendak melalui kawasan yang masih belum surut sepenuhnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini