comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Tahniah KPDN dan PDRM, teruskan banteras, pastikan hak nelayan tidak dirampas petualang’- PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan di Selangor pada 5 Mac lalu.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya hari ini, Anwar berharap tindakan membanteras itu diteruskan agar hak nelayan tidak dijarah oleh sindiket yang dilabelkannya sebagai petualang.

“Tahniah KPDN & PDRM! Teruskan banteras, pastikan hak nelayan tidak dirampas petualang!”kata Anwar.

5 Mac lalu, KPDN Selangor dan PDRM berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan dalam satu serbuan di sebuah premis disyaki menjadi stor haram penyimpanan dan pemindahan minyak Diesel bersubsidi nelayan di Sungai Besar, Selangor.

Pemeriksaan lanjut di premis terbabit membawa kepada sitaan 24,875 liter minyak Diesel dan pelbagai peralatan lain dipercayai digunakan bagi kegiatan penyelewengan dianggarkan berjumlah RM187,350.00.

Tiga lelaki rakyat tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40 an dipercayai pemilik premis, pemandu kenderaan dan penjaga premis terbabit ditahan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini