JOHOR BAHRU: Polis memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan anggota tentera dari Kem Tentera Iskandar, Mersing yang dikhuatiri hilang sejak 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, Dodit Wilman, 25, berasal dari Sabah sepatutnya melaporkan diri di kem berkenaan pada 16 Disember lalu, namun sehingga kini gagal dikesan.
“Kali terakhir dia dilaporkan dilihat meninggalkan rumah keluarga di Program Perumahan Rakyat (PPR) Cahaya Senibong, Masai pada 7.30 malam, 8 Disember lalu.
“Laporan polis kemudian dibuat kakak iparnya di Balai Polis Permas Jaya pada 17 Disember lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kakak ipar anggota tentera itu memaklumkan pihak kem berkenaan memberitahu lelaki itu tidak melaporkan diri.
Menurutnya, kenderaan terakhir digunakannya adalah Perodua Viva warna oren dengan nombor pendaftaran BKS 1233.
Katanya, cubaan ahli keluarga menghubungi lelaki itu melalui telefon bimbit juga tidak berjaya.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-2182323,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.