Tumpuan :
Nasional

Tak sampai suku daripada lebih 1 juta pelajar IPT tebus baucar buku RM100

Menteri Pendidikan Tinggi , Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. FOTO FAIL NSTP

MANJUNG: Hanya kira-kira 235,000 daripada lebih 1 juta pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara, telah menebus inisiatif baucar buku bernilai RM100 bagi fasa kedua.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata menerusi semakan di portal MySISWAPLACE, jumlah terbabit dilihat masih rendah.

Justeru, beliau berharap penuntut yang masih belum menebus baucar buku itu dapat berbuat demikian sebelum tarikh akhir penebusan pada 31 Disember depan.

“Mereka hanya ada masa kira-kira sebulan saja lagi untuk melakukan penebusan itu, dan saya sudah meminta semua universiti melalui Naib Canselor serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi untuk memaklumkan perkara ini. Penebusan itu termasuk untuk penuntut di IPT swasta.

“Adalah amat malang dan satu kerugian kepada pelajar jika mereka tidak mengambil peluang ini,” katanya pada sidang media selepas Program ‘In Person With Doc Zam@Lumut’ serta Pelancaran Inisiatif Siswa Aspirasi Rakyat Kementerian Pendidikan Tinggi (Sasar KPT), di sini, hari ini.

Ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pemberian baucar pembelian buku RM100 kepada pelajar IPT.

Sementara itu, Zambry berkata, Sasar KPT adalah inisiatif yang memperkenalkan tiga domain berimpak tinggi, iaitu University-Community Social Enterprise (UCSE), Bakti MADANI dan Inspirasi Varsiti.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu membabitkan universiti awam, IPT swasta, politeknik, pelajar sekolah serta komuniti setempat.

“Dengan tema ‘Pemerkasaan Mahasiwa Ke Arah Pembangunan Komuniti’, inisiatif ini dilaksanakan secara bersasar ke arah memperkasakan rakyat, sekali gus melahirkan siswa yang mampu menguasai intelek manusiawi berwatak glokal dalam menjuarai isu rakyat,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini