comscore
Tumpuan :
Nasional

Tak sangka gurauan ‘mahu pergi selama-lamanya’ jadi kenyataan  

Motosikal dan kereta yang terbabit dalam kemalangan di  di Kilometer 30, Jalan Lipis – Sungai Koyan di Kampung Sungai Ular malam semalam menyebabkan seorang remaja Orang Asli maut. – FOTO: Ihsan PDRM

LIPIS: “Ungkapan Norsarizad Nordin, ‘akan pergi buat selama-lamanya serta berulang kali menyebut hal tersebut kepada ibunya menjadi kenyataan, ” kata bapa mangsa, Nordin Bahtri, 44.

Nordin yang ditemui di Unit Forensik Hospital Lipis berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa berkaitan ungkapan itu kerana arwah sering bergurau ketika di rumah terutama dengan ibunya dan dua beradik lelaki yang lain.

“Saya tidak tidak menyangka gurauan arwah sebelum ini menjadi kenyataan apabila dia terlibat kemalangan bersama abangnya, Norzarizal, 20, ” katanya.

Katanya, Norsarizad, 19 yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 30, Jalan Lipis – Sungai Koyan, dekat sini bersama abangnya yang membonceng motosikal berkenaan.

“Norsarizad baru bekerja sehari sebagai pembantu kedai di sebuah kedai di bandar Kuala Lipis di sini, manakala abangnya baru tujuh hari bekerja di kedai yang sama.

“Saya membenarkan dua anak saya bekerja di bandar Kuala Lipis yang agak jauh daripada kampung di Pos Betau untuk memperoleh pendapatan menampung perbelanjaan mereka dan keluarga,” katanya.

Menurut Nordin, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 9 malam dan bergegas ke hospital Lipis untuk melihat keadaan kedua anaknya.

“Setiba di hospital, saya mendapat tahu Norsarizad telah meninggal dunia, manakala abangnya mengalami cedera parah dan masih dirawat di hospital di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 30, Jalan Lipis – Sungai Koyan pada jam 8.30 malam berdekatan Kampung Sungai Ular membabitkan sebuah yang dinaiki dua lelaki Orang Asli dengan sebuah kereta.

“Siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang dinaiki mangsa ditunggang terbabas dan terbalik laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun”, katanya.

Norsarizad disahkan maut oleh petugas perubatan di tempat kejadian.

Manakala abangnya, Norzarizal yang cedera parah dikejarkan ke Hopsital Lipis untuk rawatan lanjut.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini