JOHOR BAHRU: Cuti hujung minggu di Johor yang ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula Januari 2025, tidak wajar dijadikan bahan politik.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setiap keputusan yang diambil adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Johor secara keseluruhan.
Katanya, kerajaan negeri menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas pengumuman penukaran cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad, Isnin lalu.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri berpandangan tidak semua perkara perlu dijadikan bahan politik.
“Perkara ini mendapat pandangan daripada mufti besar dan exco agama Islam Johor, dengan ketinggian Islam tidak sedikit pun berkurang bila mana Johor tidak lagi bercuti pada hari Jumaat bermula Januari 2025.
“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor, di mana mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang dengan memudahkan mereka merancang aktiviti pada hujung minggu.
“Saya berharap tidak ada lagi mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi, kenyataan dan menjadikan ia bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan keharmonian negeri Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malam tadi, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, cuti hujung minggu di Johor yang ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad, bermula tahun depan, adalah kehendak rakyat negeri ini untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.