comscore
Tumpuan :
Nasional

Taktik keluar Malaysia dalam gelap tak jadi, 35 PATI ditahan

FOTO: Ihsan Maritim

SEKINCHAN: Taktik 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tekong cuba keluar dari perairan negara secara haram dalam gelap gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor.

Mereka yang merupakan warga Indonesia terdiri daripada 30 lelaki dan empat wanita masing-masing berusia 18 hingga 50 tahun di kedudukan 6.9 batu nautika barat daya Pantai Sekinchan, di sini, jam 12.12 tengah malam semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua PATI duduk berhimpit di bawah dek bot nelayan asing tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, bot itu dikendalikan tekong yang juga warga Indonesia berusia 35 tahun.

“Terdahulu, kami menerima maklumat daripada komuniti maritim terdapat sebuah bot nelayan asing sedang bergerak keluar dari perairan Sekinchan dalam keadaan mencurigakan.

“Berdasarkan maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk mengesan vesel tanpa nombor pendaftaran. Ia bergerak dalam keadaan gelap dan kami menahannya setelah 10 minit diekori,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Abdul Muhaimin berkata, bot bersama kesemua PATI dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) dan Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini