comscore
Tumpuan :
Nasional

Taktik sorok dadah dalam tong gas, terbongkar

KUCHING: Taktik sindiket menyembunyikan 21.7 kilogram dadah bernilai RM716,000 dalam tong gas memasak sebelum diseludup keluar dari Sarawak gagal, apabila dapat dipatahkan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik JSJSN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata kegiatan sindiket ini dikesan dengan tertangkapnya enam suspek berusia 28 hingga 50 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Miri pada 17 Mac lalu.

Kesemua dadah jenis methamphetamine itu didapati disembunyikan dalam dua silender gas memasak yang diubah suai bagi memasukkan 20 bungkusan plastik lutsinar berisi dadah berkenaan.

“Mereka akan potong tong (silinder) gas ini dan masukan 10 paket dadah tersebut kedalamnya dan 10 paket lagi dalam satu lagi silinder berlainan.

“Jadi masa serbuan itu dilakukan kita temui 20 paket lutsinar yang berisi serbuk kristal yang kita disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dalam dua silnder gas memasak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching.

Khaw berkata taktik menyembunyikan dadah ini adalah modus operandi baharu sindiket pengedaran di negeri itu dalam mengedar dan mengangkut dadah untuk mengaburi pihak berkuasa.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat buah kenderaan, wang tunai dan barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan terbabit dianggarkan bernilai lebih satu juta ringgit.

Siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek dipercayai menerima upah untuk mengedarkan dadah dengan merekrut beberapa individu bagi melakukan kegiatan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini