comscore
Tumpuan :
Nasional

Taman Eko Rimba Puncak Janing ditutup sementara susulan dakwaan kes kencing tikus

Notis penutupan sementara Taman Eko Rimba Puncak Janing, Padang Terap, bermula hari ini berikutan terdapat dakwaan kes pengunjung dijangkiti kencing tikus. -Foto: NSTP/Facebook JKN

ALOR SETAR: Taman Eko Rimba Puncak Janing, Padang Terap, di sini, ditutup sementara bermula hari ini berikutan terdapat dakwaan kes pengunjung dijangkiti kencing tikus.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Muhammad Abdullah berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat bersama pegawai daerah berkenaan selepas dilaporkan terdapat individu yang mengalami simptom dijangkiti kencing tikus selepas berkunjung ke pusat peranginan itu.

Katanya, pihaknya sudah memasang tali amaran bagi mengelak pengunjung ke kawasan terbabit.

“Ada kes individu bergejala dijangkiti kencing tikus. Sekarang Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap sedang melakukan pemantauan dan siasatan, kita tunggu pengesahan daripada mereka dahulu.

“Kita sudah tutup buat sementara bagi mengelakkan pengunjung berkunjung sehingga keadaan kembali selamat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad berharap penduduk setempat tidak menceroboh ke kawasan itu kerana notis penutupan sudah dikeluarkan.

Terdahulu, Facebook milik Jabatan Kesihatan Negeri Kedah turut berkongsi notis penutupan taman eko rimba berkenaan bermula hari ini ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Penutupan sementara itu adalah langkah pencegahan awal berikutan dakwaan kes penyakit kencing tikus.

Sebelum ini media melaporkan, dua pengunjung menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negeri ini kerana disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus selepas berkunjung ke Taman Eko Rimba Lata Bayu, Baling.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini