comscore
Tumpuan :
Nasional

Tambah baik MSMA, persiapan hadapi perubahan iklim lebih efisien – Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di sidang media selepas merasmikan katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan SWaM 2024 hari ini.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PUTRAJAYA: Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) akan ditambah baik dalam memastikan persedian mendepani isu perubahan iklim diatasi secara efektif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu perlu dibuat selari dengan arus perubahan teknologi dan keadaan semasa.

“Ia (MSMA) adalah satu dokumen yang orang kata hidup, sentiasa boleh diperbaharui mengikut keadaan (dan) masa.

“Salah satu yang kita kena lihat bagaimana hendak memperkenalkan teknologi yang bersesuaian, supaya kita dapat pantau ramalan berhubung kait dengan kemungkinan berlakunya bencana, mengenai sistem itu mungkin ia nya dapat membuat ramalan lebih awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan SWaM 2024 hari ini.

Fadillah menegaskan, kerjasama semua pihak penting dalam memastikan MSMA dijadikan panduan utama dalam memperkukuh aspek pengurusan bencana.

“Bila kita kata transformasi ini yang kita nak lihat bukan sahaja MSMA yang sedia ada, tetapi bagaimana kita nak pertingkatkan lagi dan beri kesedaran betapa pentingnya pematuhan.

“Di Malaysia, kalau kita lihat cabaran terdapat pembangunan haram yang dibuat tanpa merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), ini yang kadang kala menjejaskan.

“Sebab itu saya katakan tadi kita tak boleh serahkan kepada satu-satu pihak sahaja, kita kena libatkan keseluruhan dan sebagai individu kena juga memainkan peranan,” ujarnya lagi.

Kaedah dan panduan dalam MSMA memberikan landasan yang kukuh bagi reka bentuk sistem saliran yang mampu menampung intensiti hujan yang tinggi, terutamanya di kawasan bandar yang padat.

Persidangan selama empat hari yang bermula semalam itu akan membincangkan penyelesaian terbaik untuk meminimakan kesan terhadap alam sekitar.

Ia melibatkan 400 peserta antaranya daripada agensi kerajaan, PBT, ahli-ahli MSO, syarikat swasta, pemaju, serta pihak berkepentingan lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini