comscore
Tumpuan :
Nasional

Tambah Baik Skim Bantuan Musim Tengkujuh Pekebun Kecil RISDA

| Oleh Kumaran Rajamoney

KUALA NERANG : Skim Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan ditambah baik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, butiran penambahbaikan itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam  masa terdekat.

“Dah ada kelulusan dalam kabinet iaitu Bantuan Musim Tengkujuh (untuk pekebun kecil getah, (tapi) biar Perdana Menteri umumkan nanti.”

Jelas Mahdzir, penambahbaikan BMT itu dijangka memberi manfaat kepada 232 ribu pekebun kecil getah RISDA seluruh negara.

Ketika ini pekebun kecil RISDA menerima BMT berjumlah RM300 sebulan untuk tempoh tiga bulan.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengemukakan dua syor kepada Perdana Menteri bagi membela nasib pekebun kecil getah RISDA yang terkesan akibat harga getah yang rendah.

Syor tersebut adalah menaikkan harga lantai getah sekerap daripada harga semasa RM2.50 sekilogram atau melanjutkan tempoh BMT daripada tiga bulan kepada enam bulan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar IPT Parlimen Padang Terap di sini hari ini.

Seramai 385 anak-anak daerah itu yang sedang menuntut di IPT Awam dan Swasta, menerima bantuan berjumlah hampir RM150 ribu.

Loading...
Terkini