TANAH MERAH: Kementerian Pertahanan menambah baik sistem pentadbiran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) termasuk menambah bilangan warden dalam usaha mengekang kejadian buli.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, pihaknya tidak pernah berkompromi dengan sebarang kegiatan buli dan kejadian yang berlaku sehingga menggusarkan masyarakat terutama ibu bapa untuk menghantar anak ke universiti berkenaan.
Katanya, dua aspek yang diberi penekanan susulan berlaku insiden buli di universiti berkenaan iaitu aspek undang-undang dan pentadbiran.
“Dari segi undang-undang kita menyerahkan perkara yang berlaku kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Manakala dari aspek pentadbiran, kita meningkatkan bilangan warden supaya dapat santuni dan melihat lebih ramai pelajar sekaligus mengelakkan kejadian sama berulang.
“Pendekatan menambah bilangan warden ini dibuat sejak kejadian pertama membabitkan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Program Veteran Desa Madani Peringkat Daerah Tanah Merah, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar senior UPNM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet junior universiti itu dengan menggunakan seterika wap panas bulan lalu.
Tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap yang panas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi di sini, jam 11.45 malam pada 22 Oktober lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.