Tumpuan :
Nasional

Tambahan 2 ETS laluan KL Sentral-Padang Besar sempena musim cuti

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan pergi balik KL Sentral-Padang Besar, sempena sambutan Hari Natal dan cuti sekolah penggal ketiga tahun ini.

KTMB dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan perkhidmatan tren tambahan terbabit akan beroperasi selama 10 hari bermula 20 hingga 29 Disember depan untuk memenuhi peningkatan permintaan penumpang pada musim cuti itu.

Tren tambahan berkenaan akan menawarkan 630 tiket sehari, menjadikan jumlah keseluruhannya 6,300 tiket yang merangkumi koc kelas perniagaan. Tiket berkenaan akan dijual mulai 25 November ini dari jam 10.00 pagi.

Menurut kenyataan itu lagi, jadual operasi ETS tambahan bagi Tren No: EP9283 laluan Padang Besar-KL Sentral ialah jam 11.05 pagi-4.30 petang, manakala Tren No: EP9286 laluan KL Sentral-Padang Besar ialah 5.00 petang-10.20 malam.

KTMB sekali gus menasihati pengguna supaya mendapatkan tiket lebih awal dan tidak menunggu saat akhir, bagi mengelakkan kehabisan tiket.

“Orang ramai digalak mendapatkan tiket secara dalam talian dan melihat jadual tren yang disediakan melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau dalam laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas.

“Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Pusat Panggilan KTMB melalui talian 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini