comscore
Tumpuan :
Nasional

Tan Sri Dr Ismail dilantik Pengerusi EAIC untuk tempoh tiga tahun

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Februari lalu sehingga 31 Januari 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan beliau dan enam lagi anggota suruhanjaya berkenaan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Januari lalu.

“Semoga pelantikan ini akan memperkukuh pelaksanaan fungsi dan keberkesanan EAIC ke arah memastikan mutu penguatkuasaan yang efektif dan berintegriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan,” katanya.

Jelasnya, pelantikan itu selaras dengan subseksyen 5(1) Akta EAIC 2009 [Akta 700].

Subseksyen tersebut memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri melantik tidak lebih daripada tujuh pesuruhjaya, yang daripadanya hendaklah ada seorang Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi, bagi apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat yang dinyatakan dalam surat cara pelantikan.

Mengulas lanjut,Datuk Seri  Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong turut memperkenan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham sebagai Timbalan Pengerusi EAIC.

Lima anggota suruhanjaya terbabit merangkumi Datuk Seri Dr Yusof Ismail, Datuk Seri Dr Razali Ab Malik, Datuk Dr Mohd Gazali Abas, Datuk Ong Lam Kiat dan Datuk Siti Zainab Omar.

“Kerajaan juga merakamkan penghargaan kepada barisan Pesuruhjaya EAIC yang terdahulu iaitu Tan Sri Sidek Hassan, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O’hara dan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod yang telah melengkapkan perkhidmatan mereka di suruhanjaya tersebut pada 30 Jun 2023,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini