comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanah runtuh di banglo: Tiga beranak terselamat

AMPANG: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila banglo didiami di Taman Halaman di sini, ditimpa tanah runtuh menyebabkan sebahagian dinding bahagian belakang rumah itu roboh.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa yang terselamat adalah lelaki dan isterinya masing-masing berusia 39 tahun, serta anak mereka berusia 11 tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan, jam 2.26 pagi.

“Pasukan mendapati kejadian tanah runtuh berlaku di bahagian belakang sebuah banglo lima tingkat yang mana tanah dan batuan dari cerun bukit menimpa serta merobohkan dinding bahagian dapur di tingkat satu, dan bilik tidur di tingkat dua.

“Pasukan turut memeriksa semua tingkat dan bilik di rumah berkenaan bagi memastikan semua penghuni sudah keluar dengan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bomba kemudian membuat pemeriksaan pergerakan tanah dan memasang sawar-sawar di kawasan tanah runtuh.

Katanya, tindakan lanjut diserahkan kepada Unit Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang turut berada di lokasi.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini