comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tanah runtuh di tapak perlombongan, seorang pekerja maut tertimbus

 

KUALA LANGAT: Seorang pekerja meninggal dunia di tapak perlombongan selepas tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di Sungai Kelambu, Banting di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.34 tengah hari.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari yang mana terdapat dua buah jentera mesin jengkaut yang sedang beroperasi dihimpit oleh tanah dan seterusnya tertimbus dalam runtuhan tanah itu.

“Semasa kejadian, salah seorang daripada pemandu jengkaut itu, seorang lelaki tempatan berjaya menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun seorang pemandu yang juga lelaki tempatan tidak sempat menyelamatkan diri kerana terhimpit dan tertimbus dalam runtuhan tanah liat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira jam 1.45 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Banting.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa terbabit adalah merupakan pekerja di lombong terbabit.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan pihak polis mengklafikasikan kes ini sebagai kematian mengejut (SDR) kematian disebabkan kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bomba mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Sebaik menerima panggilam, bomba bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun tertimbus sehingga paras dada.

“Bomba berjaya mengeluarkan mangsa dalam masa 15 minit dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini