Oleh: Fareez Azman
AMPANG: Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Zamri Ramli mengesahkan tiada pergerakan tanah berlaku di kawasan runtuhan di Taman Melawati di sini.
Jelasnya, pemantauan telah dilakukan kira-kira dua jam di sekitar kawasan runtuhan sejak pagi tadi.
“Daripada pemerhatian kami pemeriksaan yang kita buat dalam dua jam, kita tengok semua tempat tiada pergerakan tanah berlaku, jadi kita beri tumpuan kepada mitigasi,” katanya.
Jelas Zamri lagi, selain tanah di bahagian atas, di bawah kawasan lereng bukit itu terkandung batuan jenis metamorfik jenis ‘schist’ dan bukannya batu kapur seperti didakwa.
“Yang ni dipanggil batuan schist, iaitu batuan jenis metamorfik dia bukan batu kapur dan bukan batuan jenis granite,” ujarnya.
Dalam pada itu, kerja-kerja pemakuan tanah akan dilakukan di lokasi kejadian bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh berulang di tempat sama.
“Proses pemakuan tanah akan dilakukan dan kerja pembaikan cerun akan mengambil masa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di lokasi tanah runtuh Taman Melawati di sini hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.