comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanaman rosak, sumber makanan orang asli terputus

GUA MUSANG: Kemunculan gajah liar yang merosakkan tanaman dan sumber makanan Orang Asli di beberapa pos di daerah ini menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di pos terbabit.

Ia membabitkan antaranya Pos Bihai, Pos Simpor, Pos Pasik serta Pos Lebir.

Kemunculan gajah liar berkenaan juga turut di kesan di Sekolah Kebangsaan, SK Pasir Linggi, Pos Lebir dan SK Sri Permai Pos Pasik.

Dalam kejadian terbaharu, kelibat gajah liar itu sempat dirakam penduduk Kampung Suma, Pos Bihai yang sebelum ini telah merosakkan rumah dan tanaman penduduk di Kampung Bujuk pos yang sama.

Penduduk mendakwa, susulan serangan gajah liar itu di Kampung Bujuk, Pos Bihai, kampung terbabit telah menjadi seperti padang kerana semua tanaman dimusnahkan dan rumah dirobohkan.

Menurut penduduk, serangan gajah liar terbabit bermula sejak 18 hari lalu di Kampung Bujuk dan Kampung Suma, hingga menyebabkan penduduk tidak berani pulang ke rumah mereka.

Penduduk turut terpaksa tinggal dalam bangsal yang didirikan di atas bukit atau menumpang di rumah saudara.

Kehadiran gajah itu turut mengakibatkan penduduk kehilangan sumber makan apabila hasil tanaman mereka dimusnahkan gajah liar.

Kemunculan gajah di kawasan sekolah turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan guru dan kakitangan sekolah.

Menurut guru SK Sri Permai, Ahmad Najmuddin Ja’afar, gajah liar itu disedari muncul berhampiran rumah guru pada waktu malam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, beliau berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, PERHILITAN, dapat menambah anggota dan kumpulan sokongan mereka di daerah berkenaan bagi menangani kehadiran haiwan liar itu.

Katanya, daerah terbabit adalah jajahan paling besar di negeri itu dan kemusnahan tanaman akibat serangan haiwan liar tidak tertumpu di satu kawasan sebaliknya membabitkan beberapa kampung yang jaraknya agak jauh.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini