comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanggungjawab PROLINTAS Bayar Kontraktor DASH, SUKE, Bukan Kerajaan

Subkontraktor mendakwa tidak mendapat bayaran lebih RM80 juta bagi pembinaan DASH. – Foto: NSTP.

KUALA LUMPUR: Pemegang konsesi projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bertanggungjawab terhadap semua pembayaran kepada kontraktor dan bukannya kerajaan.

Kementerian Kerja Raya (KKR), dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) adalah pemegang konsesi bagi kedua-dua lebuh raya tersebut.

“KKR mengambil maklum tentang aduan beberapa kontraktor mengenai pembayaran lewat bagi kerja-kerja projek DASH. Kami juga mengambil maklum tentang kontraktor yang terjejas berikutan tunggakan bayaran bagi projek lebuh raya SUKE yang baharu dibuka.

“Di bawah perjanjian konsesi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memiliki kuasa kawal selia bagi mengaudit bajet bagi lebuh raya tersebut dan melakukan intervensi,” menurut kenyataan itu.

Justeru, KKR memaklumkan pihaknya sudah mengarahkan LLM untuk segera mengadakan pertemuan dengan pemegang konsesi , kontraktor dan subkontraktor yang terjejas bagi memastikan segala pembayaran tertunggak diselesaikan secepat mungkin seperti diarahkan Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu hari ini, Ismail Sabri mengarahkan supaya sebarang hutang berkaitan projek lebuh raya DASH perlu dijelaskan.

Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas isu dakwaan hutang yang belum dibayar kepada sebilangan subkontraktor projek DASH berjumlah lebih RM80 juta yang menyebabkan subkontraktor terlibat dengan projek berkenaan mengalami kesukaran.

Lebuhraya DASH sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan keluar masuk dibuka mulai 12.01 tengah malam Jumaat lepas.

Persimpangan itu ialah Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang Dua, Subang Airport, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.

Ia menghubungkan tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT). – BERNAMA

Loading...
Terkini