comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Tangkap ikan dalam paya kering sebab kemarau

Wan Omar Wan Abu Bakar dari Kampung Manir, Kuala Terengganu menangkap ikan menggunakan serkap buluh di paya yang kekeringan kerana kemarau. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Musim panas luar biasa yang sedang melanda beberapa tempat ketika ini menyebabkan banyak paya kekeringan.

Dan meskipun keadaan itu boleh dianggap suatu ujian; ia memberi limpahan rezeki tambahan buat dua beranak di Kampung Manir, di sini.

Wan Omar Wan Abu Bakar, 50, dan anaknya, Wan Zulhairi Hafizi Wan Omar, 26, kebiasaan memperolehi lebih 20 kilogram pelbagai jenis ikan darat termasuk haruan, keli, selat, puyu dan tebakang setiap hari.

Menurut Wan Omar, dia menangkap ikan menggunakan jala dan serkap buluh bersama anak di beberapa lokasi di sekitar Hulu Terengganu.

Wan Omar Wan Abu Bakar dan anaknya, Wan Zulhairi Hafizi Wan Omar menunjukkan ikan darat yang ditangkap di paya kering. – FOTO: NSTP

“Banyak paya yang kekeringan berikutan fenomena cuaca panas atau El Nino yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Sebahagian ikan yang ditangkap hanya menggunakan tangan sahaja kerana ikan terperangkap dalam lopak air yang cetek.”

Lega dengan rezeki yang melimpah, ada beberapa ketika Wan Omar tidak dapat mengelak daripada berasa bimbang paya dan alur air itu akan kering jika cuaca panas berterusan untuk tempoh yang lama.

Tambahnya, kejadian kemarau seperti itu pernah berlaku dan terakhir pada 10 tahun lalu.

“Sudah lama paya tak kering macam sekarang oleh itu saya dan anak ambil peluang menangkap ikan darat yang terperangkap dalam lopak air.”

Ikan tebakang antara ikan yang diperolehi Wan Omar Wan Abu Bakar dan anaknya, Wan Zulhairi Hafizi wan Omar di paya yang kekeringan kerana kemarau. – FOTO: NSTP

“Banyak ikan bersaiz besar diperolehi, ikan tebakang yang sebelum ini sukar ditangkap turut diperolehi kali ini,” katanya.

Menurutnya, ikan yang ditangkap itu akan dijual sebahagiannya manakala baki akan dimakan sendiri.

“Saya dan anak akan turun dua kali sehari mencari dan menangkap ikan darat di paya kering sepanjang musim kemarau ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Zulhairi berkata dia berasa seronok menangkap ikan pada musim kemarau kerana memperolehi hasil yang banyak.

“Biasanya serkap buluh tidak praktikal digunakan untuk menangkap ikan tetapi kali ini ia boleh digunakan kerana air cetek,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini