comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanpa pengawasan, mereka boleh menjadi mangsa penipuan, keganasan siber – CMCF

FOTO: NSTP

KUCHING: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) menyarankan ibu-bapa atau penjaga memastikan kanak-kanak hanya diberikan akses kepada peranti dan kandungan di internet dengan pengawasan dan pemantauan yang sewajarnya.

Menerusi kenyataannya, CMCF berkata langkah itu sangat penting sebagai perlindungan keselamatan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun yang mungkin tidak memahami sepenuhnya risiko dalam menggunakan media sosial.

Justeru Sekretariat CMCF menyokong penuh saranan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, agar ibu-bapa memastikan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial sendiri.

“Tanpa pengawasan yang betul, mereka boleh menjadi mangsa kepada aktiviti tidak selamat seperti penipuan, keganasan siber, atau pergaulan yang memudaratkan,” katanya.

Selain itu, fenomena trend dan cabaran yang sering disertai oleh ramai pengguna media sosial juga boleh menimbulkan risiko kepada kanak-kanak yang takut ketinggalan ingin menjadi viral dan perkara ini adalah amat merbahaya kerana ibu-bapa mungkin tidak sedar akan kewujudannya.

Menurut kenyataan itu lagi,media sosial mungkin memberi tekanan kepada anak-anak yang masih belum matang atau berupaya untuk mengawal emosi mereka dengan baik.

“Pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan emosi dan psikologi mereka.

“Selain itu, kanak-kanak lebih cenderung untuk berkongsi maklumat peribadi secara terbuka di platform media sosial kerana mereka belum memahami bahaya dan risiko yang bakal timbul.

“Ini boleh membuka ruang kepada pencerobohan privasi atau perkongsian maklumat kepada mereka yang berniat jahat,” katanya.

Sehubungan itu, CMCF menggalakkan ibu bapa untuk menyedari risiko dan bahaya yang wujud di media sosial, terutamanya bagi kanak-kanak.

“Adalah penting untuk ibu-bapa berkomunikasi secara terbuka dengan anak-anak tentang penggunaan media sosial dan untuk memastikan mereka memahami langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil.

“Ia selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Menteri Komunikasi mengenai kepentingan ibu bapa untuk mengambil tanggungjawab memelihara anak-anak mereka daripada terdedah kepada risiko dan ancaman yang wujud di media sosial,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, ibu bapa dan individu yang ingin mengetahui lebih lanjut untuk memahami risiko digital serta langkah-langkah yang sesuai untuk melindungi diri mereka dan keluarga mereka boleh mendapatkan maklumat daripada CMCF.

“CMCF menyediakan sumber maklumat serta sokongan yang diperlukan dan bagi mengetahui dengan lebih lanjut, orang ramai boleh menghubungi menerusi E-mel: [email protected] atau nelayari laman web: www.contentforum.my atau Media Sosial: @mycontentforum,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini