
GEORGE TOWN: Kelam kabut cari apron dan pakai kasut bertutup. Itu tindakan peniaga dan pekerja gerai makanan di Tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong di sini, sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, semalam.
Pegawai Operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan M Shashikumaran berkata, ia antara tindak balas spontan peniaga dan pekerja sebaik gerai mereka diperiksa penguat kuasa.
Katanya, dalam operasi selama hampir tiga jam itu, 43 gerai jualan makanan dan minuman diperiksa dan 30 daripadanya dikenakan notis kompaun.
“Dalam pemeriksaan itu, 33 notis kompaun berjumlah RM5,300 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Menurut Shasikumaran, ada dalam kalangan peniaga yang beri alasan tidak tahu dengan peraturan sebaik ditanya penguat kuasa ketika pemeriksaan.
Terdapat juga dalam kalangan peniaga makanan dan minuman yang tidak mempunyai sijil pengendalian makanan serta tidak mengambil suntikan antitifoid.
Tahap kebersihan sekitar gerai pula tidak memuaskan, dan terdapat lopak air di lantai gerai yang berbau busuk.
Peniaga yang enggan dikenali berkata, dia menerima notis kompaun berikutan gagal memastikan pekerjanya mendapatkan suntikan antitifoid, manakala seorang lagi pekerja jualan makanan mendakwa terlupa hendak pakai apron dan kasut bertutup kerana bergegas mahu membuka gerai jualan.
“Hanya 13 gerai tidak dikenakan kompaun berikutan mematuhi aspek keselamatan dan kualiti makanan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di sini.
Shashikumaran berkata, ia adalah pemeriksaan pertama kali dijalankan pihaknya di premis makanan dan minuman dalam kawasan tapak Pesta Pulau Pinang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.