JEMPOL: Seekor tapir jantan mati dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 dalam kejadian di Jalan Bukit Rokan Barat, dekat sini, jam 9.50 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata kejadian itu turut membabitkan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
Katanya, siasatan mendapati pemandu Proton X50 sedang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Pahang.
“Pemandu berusia 19 tahun sebelum itu cuba menghentikan kenderaan berkenaan ketika haiwan terbabit melintas namun gagal sebelum melanggarnya.
“SUV berkenaan turut menyeret haiwan berkenaan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan dan kemudian bergesel dengan Toyota Hilux dari arah bertentangan.
“Kenderaan SUV terbabit turut terbabas dan masuk dalam longkang berhampiran,” katanya, di sini, hari ini.
Chang Hook berkata, bagaimanapun kedua-dua pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan dan bangkai tapir itu kemudian diambil oleh pihak PERHILITAN.
“Punca kemalangan disebabkan haiwan yang melintas dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa