comscore
Tumpuan :
Nasional

Tapis latar belakang pengasuh agar tidak mempunyai rekod jenayah – KPWKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju untuk bekerjasama bagi menapis latar belakang individu yang memohon menjadi pengasuh atau pihak yang ingin membuka taska persendirian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerjasama itu penting untuk memastikan individu yang memohon tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Katanya, pihaknya sudah berbincang dan melakukan pertemuan dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Dalam masa yang sama, KPWKM juga memohon daripada PDRM untuk dibenarkan membuat saringan sendiri terhadap pemohon yang ingin menjadi pengasuh sebagai antara satu syarat kelayakan yang ketat.

“Ini kerana, baru-baru ini pun kita tengok laporan ada yang babitkan bukan warga negara tempatan jadi pengasuh, jadi ini cabaran kita untuk pastikan tidak berlaku, sebab warga asing tidak datang ke negara ini untuk jadi pengasuh.

“Jadi ini penting dilakukan demi kebajikan kanak-kanak dan penghuni yang akan dijaganya nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Usahasama Strategik @Advokasi Antigangguan Seksual Bersama Express Rail Link Sdn Bhd di Balai Perlepasan KLIA Ekspres di KL Sentral, di sini, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Nancy memohon supaya setiap masyarakat dapat memainkan peranan supaya gangguan seksual di tempat awam seperti di kedai atau pengangkutan awam seperti bas awam, teksi, kenderaan e-hailing, keretapi komuter dan sebagainya dapat ditamatkan.

“Gangguan seksual dalam pengangkutan awam juga bukanlah isu baharu di negara kita yang membuatkan ramai wanita berasa terancam dan tidak lagi berasa selamat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Statistik oleh PDRM menunjukkan peningkatan bagi kes gangguan seksual yang dilaporkan iaitu daripada 378 kes pada tahun 2020 kepada 506 kes pada tahun 2021.

“Walau bagaimanapun, terdapat sedikit penurunan pada tahun 2022 iaitu kepada 477 kes dan jumlah kes yang dilaporkan ini membabitkan kedua-dua jantina, lelaki dan wanita.

“Walau bagaimanapun, majoriti mangsa adalah kaum wanita iaitu sebanyak 354 kes pada tahun 2020, 446 kes pada tahun 2021 dan 416 kes pada tahun 2022. Statistik ini menunjukkan bahawa setiap tahun lebih 90 peratus daripada kes gangguan seksual adalah wanita,” katanya.

Justeru, beliau berharap lebih ramai pihak tampil secara kreatif khususnya selebriti dan pempengaruh bagi menyebarkan kempen kesedaran ini berbanding memberikan risalah.

Loading...
Terkini