comscore
Tumpuan :
Nasional

Tarif Air: Kadar baharu meliputi lebih 2 juta akaun di Selangor

SHAH ALAM: Kadar baharu tarif air bagi lebih 8 juta rakyat mulai 1 Februari ini meliputi 2,661,743 akaun termasuk pengguna domestik serta bukan domestik.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kategori domestik termasuk rumah kos rendah, kondominium, estet juga kuarters kerajaan dengan caj minimum bagi pengguna domestik akan beralih kepada RM6.50 daripada RM6.00.

“Bagi rumah yang menggunakan air hingga 20 meter padu (m3), kadar caj bagi setiap meter padu akan beralih sebanyak 8 sen iaitu kepada RM0.65 bermula daripada 0 meter padu sehingga 20 meter padu.

“Kadar caj baharu bagi rumah yang menggunakan air sehingga 35 meter padu akan beralih sebanyak RM0.29 kepada RM1.32 bagi setiap meter padu.

“Bagi penggunaan air yang melebihi 35 meter padu, kadar caj baharu adalah RM2.63 bagi setiap meter padu berbanding kadar lama iaitu RM2,” katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin berkata, bagi kategori kondominium, caj minimum secara pukal akan kekal pada RM173 sebulan, dan caj baharu beralih sebanyak 30 sen kepada RM1.68 bagi penggunaan setiap meter padu air manakala bagi estet dan kuarters kerajaan, kadar caj baharu akan meningkat sebanyak 68 sen kepada RM1.68.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

“Bagi kategori rumah kos rendah adalah RM0.98 bagi setiap meter padu air, caj paling rendah dan peningkatan paling kecil bagi semua kategori kediaman, iaitu sebanyak 18 sen bagi setiap meter padu,” katanya.

Sementara itu katanya, kategori bukan domestik pula membabitkan rumah ibadat, institusi kerajaan, perumahan komersial.

“Rumah ibadat dan institusi kerajaan diberikan kelonggaran caj dengan kadar rata dan paling rendah, iaitu peningkatan 6 sen bagi setiap meter padu ke RM0.66.

“Bagi perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik lain akan melihat peralihan kadar baharu kepada RM2.70 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu, manakala penggunaan lebih daripada 35 meter padu dikenakan caj RM2.94 bagi setiap meter padu manakala bagi kategori kapal, kadar baharu akan beralih dari RM7.00 kepada RM7.08,” katanya.

Beliau berkata, pelarasan ini akan menjamin kelangsungan dan membolehkan Air Selangor mengelakkan isu paip bocor atau paip pecah dengan menggandakan kadar penggantian paip usang daripada 150 kilometer (km) setahun kepada 300 km setahun bermula tahun ini.

“Pembinaan loji rawatan air baharu akan diperkukuhkan bagi meningkatkan margin rizab air kepada 20 peratus menjelang 2030,” katanya.

Loading...
Terkini