comscore
Tumpuan :
Nasional

Tarik lesen, batal syarikat jika naik tambang bas sekolah – PM

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tarik lesen dan batalkan syarikat pengusaha bas sekolah.

Itu amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya ada pengusaha bertindak menaikkan tambang bas sekolah, sedangkan mereka menerima subsidi diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Kamu (pengusaha) diberi subsidi minyak dan kamu naik (tambang), kamu jaga. Saya tidak tahu orang lain tapi kalau saya, kalau kamu naik (tambang) juga dengan keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat kamu. Kalau tak anak kita di sekolah terbeban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Tambahnya, pengusaha perlu berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika belum menerima ‘fleet card’ di bawah SKDS.

Menerusi SKDS, fleet card itu membolehkan pengusaha bas sekolah terus menikmati kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Anwar menjelaskan, langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel bukan satu tindakan yang mudah kerana tidak mahu membebankan rakyat.

“Saudara ingat kita dalam Jemaah Menteri senang-senang nak lakukan (penyasaran subsidi diesel), tak berhati perut, tak peduli orang susah, naikkan harga barang, tidak.

“Kalau saya sendiri, puluh kali mesyuarat teliti soal (penyasaran subsidi diesel) supaya tak terbeban maka nelayan dikecualikan maka subsidi diteruskan, tak ditarik untuk nelayan, pekebun kecil dan bas sekolah,” katanya.

Mengakui penyasaran subsidi diesel bukan penyelesaian sempurna dan mungkin mendatangkan sedikit sebanyak masalah dalam pelaksanaannya, Perdana Menteri meminta rakyat untuk berunding bagi memperbetulkan perkara itu.

Mulai Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung  menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.

Selain SKDS, kerajaan juga melaksanakan inisiatif Budi MADANI yang menyalurkan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini