comscore
Tumpuan :
Nasional

Tarikan seni gambus masih hambar, perlu diperluaskan

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

JOHOR BAHRU: Alunan muzik gambus di negara ini perlu diperluaskan dan dimartabatkan supaya alat muzik tradisional itu tidak ditelan zaman dan dilupakan generasi muda.

Oleh itu, untuk kekal segar dan relevan, Johor Gambus Festival 2022 di sini diadakan bagi menarik lebih ramai peminat untuk mengenali lebih dekat alat muzik tradisional itu.

Festival yang berlangsung di JBCC Johor Bahru, baru-baru ini, memberi banyak pendedahan kepada pengunjungnya.

Dianjurkan Pertubuhan Gambus Malaysia dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar IRDA and Think City, dengan pelbagai program pengisian diadakan berkaitan gambus, antaranya forum oleh tokoh pemuzik gambus, pameran dan bengkel bermain gambus bersama penggiat seni gambus.

Presiden Pertubuhan Gambus Malaysia, Raja Zulkarnain Raja Mohd Yusof

Presiden Pertubuhan Gambus Malaysia, Raja Zulkarnain Raja Mohd Yusof berkata, platform persembahan ini dapat mendidik orang ramai tentang seni muzik gambus.

“Kita buat program ini memang sesuatu yang ditunggu oleh peminat sebab kekurangan platform gambus ini.”

“Festival ini diadakan sejak 2012 dan setiap tahun kita cuba teruskan untuk menarik lebih ramai lagi masyarakat yang kenal dan faham tentang fungsi alat muzik gambus ini,” katanya kepada segmen Seni dan Hiburan, Buletin TV9.

Mengulas lanjut, ketiadaan platform untuk mengetengahkan seni gambus dan ghazal telah menyebabkan ia tidak dapat berkembang dengan baik.

Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan penting agar seni muzik tradiosional itu dapat dipupuk pada generasi akan datang.

“Seni gambus ini perlu diberikan lebih perhatian. Ia terpelihara kerana pertubuhan seperti kami dan bantuan dana dari kerajaan dan swasta, ia dapat diteruskan dan dipelihara.”

“Kita cuma perlukan perbanyakkan lagi platform supaya peluang untuk kembangkan seni ini lebih meluas daripada sekarang.” katanya.

Tambahnya, institusi pendidikan juga boleh memainkan peranan dalam memberi pendedahan kepada anak muda tentang alat muzik tradisional itu.

Dengan pendedahan yang banyak, Zulkarnain berkata ia dapat melahirka lebih ramai bakat-bakat baharu terutama golongan muda untuk bekecimpung dalam seni bermain gambus.

Untuk laporan penuh, tonton segmen Seni & Hiburan di Buletin TV9, jam 7 malam ini.

Loading...
Terkini